Cara Meninggalkan Sifat Hasad

Sifat hasad ini adalah bercabang daripada sifat bakhil kerana orang yang bakhil ialah orang yang tidak mahu memberikan sesuatu yang ada di tangannya kepada orang lain. Dan syahih ( tersangat bakhil ) ialah orang yang tidak mahu melihat kurnia Allah s.w.t atau perbendaharaan Allah yang sebenarnya bukan perbendaharaannya tercurah kepada sesiapa sahaja daripada Hamba Allah s.w.t.

Maka syahih ini lebih jahat daripada bakhil dan orang yang hasud ialah orang yang merasa keberatan bahawa Allah s.w.t mencurahkan nikmat dan kurnia kepada salah seorang di antara hamba-hamba Allah s.w.t, sama ada nikmat itu berupa ilmu, harta, kecintaan manusia atau apa sahaja habuan yang diberikan Allah kepada hamba-hambanya sehingga orang yang hasad ini bercita-cita kalau boleh nikmat Allah itu hilang dari orang lain walaupun ia tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada hilangnya nikmat tersebut. Maka sifat hasad ini adalah kejahatan yang luar biasa kerana itu Rasulullah s.a.w pernah bersabda ;

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar.” (HR Abu Daud – 4257)

Dan orang yang hasad ini sebenarnya sentiasa jauh daripada kasih sayang dan sentiasa berada di dalam seksaan di dunia ini dan akhirat nanti. Di dunia ini ia terseksa dengan tekanan perasaan kerana bila-bila masa Allah selalu mencurahkan kuniaanya kepada orang ramai bahkan kepada kawan-kawan orang yang hasad itu yang ia mengenali mereka. Allah sentiasa mencurahkan nikmat ilmu, harta dan kedudukan maka sentiasa pula orang yang hasad itu dalam penyiksaan bila ia melihat kemurahan Allah terhadap orang lain.Maka begitulah keadaannya sampai ke akhir hayatnya.




Manakala di akhirat pula lebih dahsyat lagi kerana seseorang hamba tidak akan mencapai hakikat iman selama ia belum lagi mencintai bagi seluruh kaum muslimin apa-apa yang ia cintai bagi dirinya sendiri bahkan sepatutnya hendaklah ia bersama dengan perasaan seluruh kaum muslimin baik dalam kesenangan ataupun dalam kesusahan kerana orang Islam itu ibarat sebuah bangunan, dimana satu bahagian mengukuhkan bahagian yang lain dan seperti sebatang tubuh apabila mana-mana anggota badan  yang lain.

Jadi jika engkau dapati hatimu bukan dalam keadaan yang seperti ini, maka ( Sifat hasad masih wujud di dalam hatimu ) dan hendaklah engkau berusaha untuk membersihkannya kerana usahamu dalam meninggalkan penyakit hati ini adalah lebih penting daripada engkau menyibukkan diri untuk mendalami ilmu furuk (cabang ilmu fekah yang halus-halus) yang ganjil-ganjil dan memperdalami masalah-masalah yang dikhilafkan oleh para ulama.

SUMBER : KITAB BIDAYATUL HIDAYAH (IMAM AL-GHAZALI R.A )

Diterjemahkan Oleh : ABU ALI AL BANJARI AN NADWI ( Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam)


Hubungi Kami
Sebarang Cadangan, Komen, ataupun Aduan berkaitan isi kandungan artikel ini boleh diemailkan terus ke admin@viral.my . Kami akan meneliti setiap satu daripadanya dan akan membalas Email anda secepat yang mungkin. Terima Kasih.



Recommended For You

About the Author: viralmalaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *