Berfikir Sebelum Membuat Maksiat

Seorang Lelaki datang berjumpa Ibrahim bin Adham dan berkata, “Wahai Abu Ishaq, aku selalu melakukan maksiat. Katakanlah sesuatu kepadaku sebagai nasihat yang boleh membantuku untuk tidak melakukan maksiat lagi.”

Ibrahim berkata, “Jika kamu menerima lima perkara dan kamu mampu melakukannya, nescaya kemaksiatan tidak akan dapat mengalahkanmu”. Dia berkata, “Katakanlah Wahai Abu Ishaq.” Ibrahim berkata :

  • Jika kamu hendak berbuat maksiat kepada Allah, maka janganlah kamu makan RezekiNya.

Lalu lelaki itu bertanya.”Darimanakah aku akan memperolehi makanan sedangkan semua yang ada di bumi ini adalah Rezeki-Nya”. Ibrahim bertanya kepadanya, “Wahai saudara, apakah patut kamu makan rezeki-Nya dan pada masa yang sama kamu berbuat maksiat kepadaNya ?”. Lelaki itu menjawab, “Tidak. Katakanlah yang kedua”. Ibrahim Berkata :

  • Jika kamu hendak berbuat maksiat kepada-Nya, maka janganlah kamu tinggal di bumi-Nya

Lelaki itu menjawab, “Ini lebih bersar. Dimana lagi aku akan tinggal ?” . Ibrahim bertanya kepadanya, “Wahai saudara,apakah patut kamu berbuat maksiat kepada-Nya sedangkan kamu memakan rezeki-Nya dan tinggal di buminya ?”. Lelaki itu menjawab, “Tidak. Katakanlah yang ketiga”. Ibrahim berkata :

  • Jika kamu hendak berbuat maksiat kepada-Nya, kamu makan rezeki-Nya dan tinggal dibumi-Nya, maka carilah tempat dimana Dia tidak melihatmu. Disitulah kamu boleh melakukan maksiat.

Lelaki itu menjwab, “Wahai Ibrahim, apa ini ? Tidak mungkin, Dia mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi.” Ibrahim bertanya, “Wahai saudara, apakah patut kamu makan rezeki-Nya dan pada masa yang sama kamu berbuat maksiat kepada-Nya, sedangkan Dia melihatmu, mengetahui apa yang kamu zahirkan dan yang kamu rahsiakan ?”. Lelaki itu menjawab, “Tidak. Katakanlah yang keempat”. Ibrahim Berkata :

  • Jika malaikat maut datang kepadamu mahu mencabut nyawamu, maka katakanlah kepadanya , “tunggu sebentar, aku mahu benar-benar bertaubat dan beramal kerana Allah”.

Lelaki itu berkata, “Dia tidak akan menerimanya”. Ibrahim bertanya, “Wahai saudara, jika kamu tidak berkuasa menolak Malaikat maut supaya kamu boleh bertaubat, dan kamu mengetahui bahawa jika dia datang kepadamu, dia tidak akan memberi kesempatan kepadamu, lalu bagaimanakah kamu boleh selamat ?”. Lelaki itu berkata, “katakan yang kelimat”. Ibrahim berkata :

  • Jika malaikat Zabaniyah a.s datang kepadamu pada hari kiamat untuk mengheretmu ke neraka, maka janganlah kamu ikut”. 

Lelaki itu berkata, “Mereka tidak akan membiarkanku dan tidak akan menerimaku”. Ibrahim berkata, “Bagaimanakah kamu berharap untuk selamat ?”. Lelaki itu berkata, ” Wahai Ibrahim, cukuplah. Aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah”. Akhirnya, dia benar-benar memenuhi janjinya untuk bertaubat dan menjadi rajin beribadah serta menjauhi maksiat sehingga dipanggil Allah s.w.t menemuiNya.

SUMBER : KEAJAIBAN FIRASAT 63 KISAH PENGUBAT JIWA (MUHADIR HAJI JOLL)


Hubungi Kami
Sebarang Cadangan, Komen, ataupun Aduan berkaitan isi kandungan artikel ini boleh diemailkan terus ke admin@viral.my . Kami akan meneliti setiap satu daripadanya dan akan membalas Email anda secepat yang mungkin. Terima Kasih.



Recommended For You

About the Author: viralmalaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *