Apa Itu Kurap ?

Pengenalan

Kurap atau tinea corporis adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat (fungi) yang dipanggil dermatophyte.

Tiga jenis dermatophyte yang dikenal pasti menyebabkan kurap adalah dari jenis Trichophyton, Microsporum dan Epidermophyton. Selain daripada menjangkiti kulit, kulat-kulat ini juga boleh menjangkiti kuku dan rambut.

Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan; sama ada dengan manusia atau haiwan yang berkurap atau dengan sebarang objek yang mempunyai kulat di atasnya (fomites). Ia juga boleh berjangkit secara autoinokulasi iaitu jangkitan daripada kawasan lain pada tubuh individu yang sama contohnya berjangkit di bahagian tangan atau badan akibat digaru dengan kuku jari yang dijangkiti kulat.

Keadaan kulit yang sentiasa lembap akibat pemakaian baju yang diperbuat daripada fabrik yang tidak menyerap peluh atau iklim yang lembap dan panas menggalakkan pertumbuhan dan jangkitan kurap.

kurap
kurap 2

Gejala & Tanda

Apabila diamati dengan mata kasar, kulit yang berkurap mempunyai plak kemerah-merahan yang bersisik dan kadang-kala terdapat bintik-bintik merah atau bisul-bisul halus di sekelilingnya. Tanpa rawatan, plak ini boleh membesar dan kadang-kala akan membentuk gelang kemerah-merahan di sekelilingnya.

Rupa bentuk seperti gegelang inilah yang menyebabkan ia juga dikenali sebagai ‘ringworm’ walaupun sebenarnya penyakit ini tidak ada kena mengena dengan jangkitan cacing. Kurap boleh menjangkiti mana-mana bahagian tubuh termasuklah bahagian lipatan badan dan kawasan-kawasan yang sering berpeluh dan tertutup seperti di punggung, peha, perut dan sebagainya.

Jangkitan kurap juga boleh dikenal pasti dengan menggunakan beberapa teknik penyiasatan seperti kaedah skin scraping dan kultur kulat. Untuk melakukan skin scraping, kulit berpenyakit akan dikikis di bahagian sempadannya untuk mendapatkan sisik-sisik kulit. Bahan yang dikikis akan diletakkan ke dalam titisan cecair potassium hydroxide di atas slaid kaca dan terus diamati menerusi mikroskop untuk mengecam kulat tersebut.




Kulat juga boleh dikenalpasti dengan menghantar bahan kikisan daripada kulit ke makmal dan ia akan dikulturkan di dalam media kultur khas. Selepas beberapa hari, jenis koloni kulat yang tumbuh dapat dikenal pasti.

Komplikasi

Kadang-kala, pengecaman jangkitan kurap tidaklah semudah yang disangka. Masalah ini boleh berlaku kerana kurap boleh menyerupai pelbagai penyakit kulit yang lain seperti psoriasis, discoid eczema, urticaria, Bowen’s disease, kusta, sifilis sekunder dan sebagainya (lihat gambar).

Sekiranya kurap telah disapu dengan krim yang mengandungi steroid terlebih dahulu, rupanya boleh berubah dan ini akan menyukarkan proses pengecaman. Kurap seperti ini dipanggil tinea incognito.

Rawatan

Penyakit kurap boleh dirawat dengan penggunaan ubat antikulat. Jenis rawatan bergantung kepada beberapa faktor seperti keluasan kawasan yang dijangkiti, kekerapan jangkitan berulang selepas dirawat, kurap yang tidak sembuh dengan rawatan sapuan krim dan sebagainya. Sekiranya kurap hanya melibatkan kawasan kulit yang terhad, ubat dalam bentuk krim adalah yang paling sesuai. Krim-krim yang mengandungi bahan aktif seperti imidazole, allylamine, tolnaftate dan cicloprox boleh digunakan. Teknik sapuan krim yang betul harus digunakan – ubat perlu disapu di atas plak dan melebihi sempadan kurap. Rawatan perlu dilakukan dua kali sehari selama dua hingga empat minggu, bergantung pada jenis ubat yang digunakan.

Jika terdapat banyak kawasan yang dijangkiti kurap, ubat antikulat dalam bentuk kapsul atau pil adalah pilihan yang lebih praktikal. Di antara ubat antikulat yang kerap digunakan adalah fluconazole, itraconazole dan terbinafine. Walau bagaimanapun, ubat-ubat ini mempunyai kesan sampingan yang tersendiri. Ia boleh berinteraksi dengan ubat-ubat lain dan boleh menyebabkan ‘hepatitis’ terutamanya pada sesetengah individu. Oleh itu, pastikan ubat-ubat ini diperoleh daripada pengamal perubatan yang arif tentang penggunaannya. Anda juga dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membeli ubat-ubatan tanpa preskripsi terutamanya jika anda juga mengambil ubat-ubat yang lain.

Pencegahan

Rawatan awal yang mencukupi amat penting untuk mempastikan jangkitan kurap sembuh dan tidak berulang. Walau bagaimanapun, jangkitan ini masih boleh berulang sekiranya seseorang itu juga mempunyai penyakit kencing manis yang tidak terkawal, mempunyai daya imuniti yang rendah, menerima rawatan kali pertama dengan dos atau jangka masa yang tidak mencukupi dan pelbagai faktor lain. Elakkan daripada berkongsi tuala, pakaian atau kasut dengan orang lain dan pastikan kawasan kulit yang terlibat tidak sentiasa lembap.

Rujukan

  1. Hay RJ, Ashbee HR.(2010). Burns T, Breatneach S, Cox N, Griffiths C. (Eds). Rook’s Textbook of Dermatology.(pp.1657- 1707). United Kingdom: Wiley-Blackwell
  2. Verma S, Heffernan MP. (2008)Wolff K, Goldsmith LA, Katz SI, Gilchrest BA, Paller AS, Leffell DJ. (Eds).Fitzpatrick’s Dermatology in General Medicine. (pp 1807-1821).USA: McGraw-Hill

SUMBER : PORTAL MYHEALTH MALAYSIA

Semakan Akhir : 20 Jun 2014
Penulis/Penterjemah : Dr. Mazlin Baseri
Akreditor/Penyemak : Datin Dr. Asmah bt. Johar

Hubungi Kami
Sebarang Cadangan, Komen, ataupun Aduan berkaitan isi kandungan artikel ini boleh diemailkan terus ke admin@viral.my . Kami akan meneliti setiap satu daripadanya dan akan membalas Email anda secepat yang mungkin. Terima Kasih.



Recommended For You

About the Author: viralmalaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *